Misi Bantuan Banjir Kedah

Pada Ahad, 29 September 2024, Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda (PKU) telah menyertai Misi Bantuan Banjir Utara 2024 untuk membantu mangsa banjir di sekitar Pokok Sena dan Alor Setar, Kedah.
 
Misi kali ini melibatkan seramai 70 orang sukarelawan dari NGO GRAB, GERAK, Triton Tuners Club Malaysia dan Muslim Care Malaysia Society yang bersama-sama menyampaikan bantuan kepada lebih 200 keluarga yang terkesan akibat banjir di Kg. Lubuk Keriang, Kg. Alor Melintang, Kg. Pegawai dan Kg. Padang Chapa.
 
Antara barangan yang disalurkan adalah makanan asas seperti beras, gula, tepung dan bihun. Turut disalurkan adalah pek roti, biskut dan air mineral. Sukarelawan yang terlibat berusaha memastikan setiap keluarga yang terjejas menerima bantuan dengan segera, bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
 
Kami di PKU ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sukarelawan dan NGO yang terus bersemangat membantu mangsa-mangsa banjir. Terima kasih juga kepada para penyumbang yang telah memberikan sumbangan ikhlas kepada misi ini. Bantuan yang disalurkan ini amat bermakna buat mangsa-mangsa banjir dalam mengharungi saat-saat sukar.
 
Semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah SWT dan menjadi contoh solidariti serta semangat setiakawan dalam kalangan kita semua. Kami berdoa agar mangsa-mangsa banjir diberikan kekuatan untuk bangkit semula. Teruskan menyokong misi-misi kebajikan kami dan bersama-sama kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Scroll to Top