Majlis Tausiah Bersama Asnaf 2026 Siri-3

Alhamdulillah, Pertubuhan Khidmat Ummah (PKU) telah berjaya menganjurkan Majlis Tausiah Bersama Asnaf Siri Ke-3 pada hari Sabtu, 8 Ogos 2026, bertempat di Dewan Akademi Darul Ilmi. Majlis suku tahunan ini telah menghimpunkan seramai 500 keluarga asnaf yang terdiri daripada golongan ibu tunggal, warga emas, fakir dan miskin yang juga merupakan penerima bantuan tunai bulanan di bawah seliaan PKU.

Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah sebagai salah satu medium pengisian rohani kepada para peserta menerusi pengisian ilmu yang telah disampaikan oleh Pengerusi PKU, al-Fadhil Ustaz Wadi Annuar. Di samping itu, majlis turut menyelitkan sesi penyampaian anugerah Insentif Pelajar Cemerlang kepada lima orang anak asnaf sebagai pengiktirafan atas pencapaian akademik mereka sekali gus menyuntik semangat untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

Bagi meringankan bebanan asnaf yang hadir, pihak PKU telah mengagihkan sumbangan berupa barangan keperluan asas dapur seperti beras, telur, pek makanan tengah hari serta edaran pakaian terpakai. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada penyumbang utama, iaitu Thong Ne Thae serta barisan sukarelawan dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar dan skuad sukarelawan PKU yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis ini dari awal hingga akhir.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Scroll to Top